“Kita Benteng Yang Terakhir Untuk Negara” – Ketua Pengarah Kesihatan

“Kita Benteng Yang Terakhir Untuk Negara”

"Kita Benteng Yang Terakhir Untuk Negara"

“KITA adalah benteng terakhir (untuk) negara bergantung sepenuhnya,” itu pesanan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kepada barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mendepani Covid-19.

Noor Hisham antara individu yang setiap hari tampil menerusi media untuk memberikan perkembangan terkini wabak yang kini sudah meragut 17 nyawa di negara ini.

Menurutnya, barisan hadapan KKM adalah benteng pertahanan terakhir dan negara kini memerlukan khidmat bakti sepenuhnya pasukan kesihatan ini.

Beliau berkata, berjaya atau tidak dalam memerangi Covid-19 bergantung sepenuhnya kepada kumpulan ini untuk melakukan yang terbaik demi Raja dan negara.

“Kita semua dipertanggungjawabkan melawan Covid-19 yang tidak kelihatan malah lebih penting sebagai benteng pertahanan terakhir.

“Kepada orang ramai, kerajaan sudah melaksanakan perintah kawalan gerakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Setiap seorang daripada kita dapat membantu dalam memenangi perang ini . Sila tinggal di rumah dan bantu kami memecahkan rantaian transmisi Covid-19 dan amalkan penjarakan sosial dan mencuci tangan dengan kerap,” katanya, hari ini.

Noor Hisham berkata, KKM akan meneruskan strategi pengesanan kes aktif, mencari, menguji, mengasingkan dan merawat pesakit yang dijangkiti.

Katanya, kementerian juga mengambil semua langkah kesihatan awam yang diperlukan serta meningkatkan sistem penjagaan kesihatan sedia ada.

“Mari kita bersama-sama lakukan semua ini demi negara,” katanya.

Malaysia kini mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac hingga 31 Mac ini dalam usaha membendung penularan wabak yang sudah meragut 18,907 nyawa seluruh dunia dengan 422,959 orang lagi dijangkiti.

sumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *