Maybank : Jangan tekan Pautan ‘Log In’ SMS yang dihantar

 

Maybank : Jangan tekan Pautan 'Log In' SMS yang dihantar
Maybank : Jangan tekan Pautan ‘Log In’ SMS yang dihantar

Polis mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terpedaya dengan pelbagai kaedah sindiket penipuan yang berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini.

Perkara itu ditegaskan Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa yang berkata, terkini, pihak Maybank melalui laman rasmi Facebook menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak membuka pautan laman sesawang daripada pesanan ringkas yang mendakwa mereka dari pihak Maybank.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak sesekali ‘log in’ pautan Maybank2U kerana ia adalah salah satu kaedah sindiket penipuan untuk menipu mangsa.

“Pesanan ringkas berkaitan pautan ini akan dihantar secara rambang kepada semua nombor telefon mangsa oleh pihak sindiket penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, nasihat ini ditujukan kepada semua pemilik akaun bank khususnya pemilik akaun Maybank supaya berhati-hati jika ada menerima panggilan telefon yang
menyamar sebagai pegawai bank khususnya dari Maybank untuk menipu orang awam.

“Pihak sindiket ini akan menghubungi telefon mangsa secara rawak sebelum memulakan perbualan dengan mendakwa nama mangsa digunakan oleh individu tertentu bagi tujuan tertentu contohnya pinjaman peribadi dan seterusnya akan meminta mangsa menyatakan nama penuh dan nombor MyKad bagi tujuan pengesahan.

“Mangsa kemudian akan panik dan suspek akan menasihati mereka untuk membuat aduan dengan Bank Negara Malaysia ataupun Polis Diraja Malaysia yang dijawab oleh suspek yang menyamar dengan memberikan nombor telefon yang sudah diubah suai menggunakan platform voice over internet protocol (VOIP) untuk memperdaya mangsa,” tambahnya.

Merbin memberitahu, mangsa yang terpedaya akan takut apabila dimaklumkan akaun bank mereka akan dibekukan kerana terlibat dengan aktiviti jenayah dan mangsa akan dinasihati untuk memindahkan wang dalam akaun bank mereka ke akaun bank yang diberikan suspek untuk sementara waktu sepanjang siasatan dibuat.

“Ini akan menyebabkan mangsa mengalami kerugian apabila mangsa menyedari telah ditipu oleh pihak sindiket ini,” ujarnya.

Sumber : Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *