Belanjawan 2021: Bantuan OKU, warga emas dinaikkan

Belanjawan 2021: Bantuan OKU, warga emas dinaikkan

Belanjawan 2021: Bantuan OKU, warga emas dinaikkan
Belanjawan 2021: Bantuan OKU, warga emas dinaikkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menambah baik kebajikan golongan rentan (kumpulan mudah jatuh sakit), termasuk dengan menaikkan kadar bantuan beberapa bantuan bulanan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kadar bantuan orang kelainan upaya (OKU) tidak berupaya bekerja dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Menurut beliau, kadar bantuan warga emas dan bantuan penjagaan OKU serta pesakit kronik terlantar pula dinaikkan daripada RM350 kepada RM500.

“Kadar Elaun Pekerja OKU pula dinaikkan daripada RM400 kepada RM450.

“Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin dinaikkan daripada RM100 seorang anak dengan maksimum RM450 sekeluarga, kepada RM150 seorang anak berumur tujuh tahun hingga 18 tahun atau RM200 seorang anak berumur enam tahun dan ke bawah dengan maksimum RM1,000 sekeluarga,” katanya.

Tengku Zafrul menyatakan demikian ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

“Semoga peningkatan kadar ini membantu dengan penjagaan anak-anak, serta nutrisi makanan.

“Contohnya, jika Puan Safiah mempunyai tiga orang anak dengan dua daripadanya berumur enam tahun dan ke bawah dan suaminya OKU bekerja, keluarga beliau akan mendapat bantuan RM1,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, kajian Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 oleh Jabatan Perangkaan mendapati Pendapatan Garis Kemiskinan atau PGK Nasional meningkat kepada RM2,208 sebulan bagi setiap isi rumah.

“Ini bermakna, lebih 400,000 isi rumah yang berpendapatan kurang daripada PGK ini tergolong dalam kategori miskin,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus menjaga kebajikan golongan warga emas dan OKU melalui Program Khidmat Bantu di Rumah.

Katanya, nilai sagu hati kepada sukarelawan di bawah program ini akan dinaikkan daripada RM150 kepada maksimum RM400, manakala nilai sagu hati kepada klien program turut dinaikkan daripada RM30 kepada RM80.

“Kenaikan ini dijangka memanfaatkan lebih 2,000 sukarelawan dan lebih 8,000 warga emas dan OKU.

“Bagi membantu mereka yang mempunyai pasangan OKU, sukacita kerajaan mengumumkan had pelepasan cukai bagi pasangan OKU akan dinaikkan daripada RM3,500 kepada RN5,000,” katanya.

 

Sumber : Berita Harian , Bawah Bayu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *