Belanjawan 2021: KWSP Boleh keluar RM500 sebulan sehingga bulan 12

Belanjawan 2021: KWSP Boleh keluar RM500 sebulan sehingga bulan 12

Belanjawan 2021: KWSP Boleh keluar RM500 sebulan sehingga bulan 12
Belanjawan 2021: KWSP Boleh keluar RM500 sebulan sehingga bulan 12

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021 dengan jumlah pengeluaran sehingga RM6,000.

Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari dan kemudahan pengeluaran Akaun 1, katanya, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000.

“Pengeluaran Akaun 1 KWSP dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli terjejas selain membantu mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 akan membabitkan RM4 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kadar caruman minimum KWSP pekerja dikurangkan daripada 11 peratus kepada sembilan peratus bermula Januari 2021.

“Ia bagi meningkatkan pendapatan boleh guna dan akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga RM9.3 bilion,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 KWSP untuk membeli produk perlindungan insurans dan takaful hayat dan penyakit kritikal bagi diri sendiri dan keluarga.

Katanya, keputusan itu berikutan kadar penembusan insurans yang rendah di negara ini selain antara faktor yang menggugat keselamatan kewangan individu dan isi rumah.

“Bagi menggalakkan simpanan hari tua, pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 ke atas caruman Skim Persaraan Swasta (PRS) dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2025,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, KWSP juga akan meneruskan pembangunan Kwasa Damansara dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM50 bilion.

“Ia merangkumi pembangunan kawasan komersial, kediaman, infrastruktur sosial, hab inovasi dan perubatan.

“Lebih 100,000 peluang pekerjaan bakal dijana, manakala lebih 250,000 unit rumah termasuk 10,000 unit rumah mampu milik akan dibina,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *